Monday, July 28, 2008

Reformasi Remaja

Salam.

Pertama dan selamanya marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerna masih diberi keizinanNya untuk kita berkongsi pandangan dalam ruangan secebis ini. Jika kita lihat senario yang berlaku dalam negara kita dengan pelbagai agenda permasalahan sama ada politik, ekonomi dan sosialnya. Kita sebagai remaja tidak terkecuali menerima akibatnya. Kita lihat sahaja isu kenaikan harga minyak yang kini RM2.72 cukup membebankan rakyat. Secara tidak langsung kita sebagai remaja juga turut terasa bahangnya. Dengan kedudukan ekonomi remaja yang tidak ada paksi kukuh tentunya permasalahan ini cukup membebankan. Kenaikan harga minyak juga mengakibatkan perkara-perkara lain turut naik sama seperti harga makanan asas iaitu beras. Ini bermakna kos sara diri atau kos hidup remaja turut meningkat. Perkara ini kita perlu sedar dan sentiasa perlu peka dengan peranan kita sebagai warganegara Malaysia yang mempunyai hak masing-masing.

Jadi, persoalannya apakah peranan kita sebagai remaja yang mana bakal menerajui pucuk pimpinan negara? Adakah kita sekadar boneka hiasan semata-mata? Kemana perginya suara emas kita? Mengapa pihak tertentu sentiasa melupakan suara kita? Adakah kerana kita ini masih mentah dalam pemikiran? Jika itu tanggapan mereka, maka mereka adalah silap. Kita sebagai generasi muda boleh menggoncang negara ini dengan kekuatan semangat kita. Kita harus lakukan perubahan terutamanya dalam merubah pemikiran rakan-rakan kita yang lain yang telah tersalah pilih jalan. Kita kena bawa mereka bersama-sama ke landasan yang betul yang berteraskan kepada ajaran agama masing-masing. Setiap perubahan yang kita lakukan berupaya menjadikan diri kita lebih terarah dan juga bersistematik. Apabila ini berlaku, barulah kita mulakan reformasi kita. Kita bangkit dari tidur yang lena dan memperjuangkan hak kita. Kalau tidak kita siapa lagi? Harapkan wakil-wakil rakyat yang telah lapuk pemikiran mereka? Yang hanya tahu kronisme dan nepotisme? Yang hanya tahu isu perut sendiri dengan projek-projek? Yang hanya melawat tika kempen pilihan raya? Pemimpin sebegini kita perlu usir dalam hidup kita dan kita perlu jatuhkan mereka. Mereka sesungguhnya adalah pengkhianat bangsa dan pengkhianat bangsa tidak layak memimpin kita.

Wahai rakan-rakan remaja,

Marilah kita lakukan perubahan dan semoga dengan perubahan yang dilakukan dapat menjadikan bumi Malaysia lebih Cemerlang, Gemilang dan Terbilang!!

REFORMASI REMAJA

Wassalam.

Tuesday, July 22, 2008

Konotasi Guru

GURU,

Insan pendidik yang begitu sinonim dengan masyarakat. Peranan dan kerjaya guru cukup luas diperkatakan sehingga ada yang berkata "jika hari ini seorang doktor berjaya merawat seorang pesakit, jika hari ini seorang peguam menang bicara dan jika hari ini seorang menteri gah kuasanya, KETAHUILAH semuanya bermula dari seorang GURU". Kerjaya dan profesion keguruan adalah merupakan satu profesion yang begitu mulia dan juga begitu hampir dengan individu-individu dalam masyarakat. Keperibadian serta akhlak setiap insan terbentuk secara formal di sekolah, gurulah menjadi agen perubahan dan agen sosialisasi kepada masyarakat. Tugas dan peranan seorang guru bukan sekadar berbicara dalam bilik darjah sahaja, tetapi lebih dari itu. Kerjaya guru adalah satu kerjaya yang fleksibel iaitu guru berupaya menjadi kerani, tukang kebun dan juga pembantu percetakan. Itulah realiti guru pada masa kini dan juga segala cabaran perlu diharungi dengan ketabahan dan kesabaran.

Namun,

Adakah masyarakat memandang kepada peranan guru ini? Adakah masyarakat menghargai segala peranan dan jasa guru? Adakah ibu bapa sedar bahawa tanpa seorang guru, anak-anak mereka akan jadi apa? Kenapa guru sering dipersalahkan jika berlakunya kepincangan dalam masyarakat? Kenapa guru digelar guru '25 hb'? Mengapa dan Kenapa persoalan ini tumbul dalam profesion perguruan? Persoalan-persoalan inilah yang menghangatkan lagi profesion ini dan ia menjadi satu cabaran kepada para guru untuk menepis segala persoalan dengan melakukan kerja ikhlas semata-mata ALLAH SWT. Kita seharusnya tidak gentar dengan cabaran ini kerana sesungguhnya kita adalah yang terbaik dan kita sahaja yang mampu merubah corak politik, ekonomi dan juga sosial NEGARA kita.

Konotasi GURU, kita jangan mudah mengalah dengan tekanan. PIPP harus kita cuba berjayakan dan segala dasar yang tersedia perlu dilaksana. Apa yang lebih utama ialah kita perlu mendidik anak bangsa kita dengan segala ilmu dan kemahiran yang kita miliki supaya mereka berupaya menjadi insan yang CEMERLANG, GEMILANG & TERBILANG..

TERIMA KASIH CIKGU!

Sunday, July 13, 2008

Malaysiaku..

Malaysia, sebuah frasa yang begitu membuatkua bangga menyebutnya, melaungkannya dan juga melafazkannya. Namun, pada fikiranku adakah individu lain berfikiran sedemikian juga? Adakah mereka merasakan satu aura pada frasa 'Malaysia'? Adakah mereka merasakan betapa pentingnya ideologi negara iaitu Rukun Negara buat mereka. Adakah setiap individu dalam masyarakat memahami apa isi tersirat yang terkandung dalam Rukun Negara? Persoalan-persoalan ini seringkali bermain di fikiran saya sebagai invidu serta masyarakat yang cintakan tanah air.

Namun, kadangkala saya begitu kecewa dengan perlakuan serta tindak tanduk pemimpin kita yang acuh tak acuh dalam memperjuangkan nasib bangsa Malaysia dan Melayu khasnya. Mengapa masih ada individu yang bergelar "pemimpin bangsa" yang kita harapkan dalam memperjuangkan nasib anak bangsa seolah-olah hilang hala tuju mereka. Mereka mengejar pemerintahan nepotisme dan kronisme. Inilah hala tuju mereka, pemimpin yang gila harta dan juga pangkat. Tidak sedar akan tanggungjawab dan juga peranan dalam menjaga kebajikan rakyat, meningkatkan taraf hidup rakyat dan juga lebih peka akan keperluan rakyat. Inilah apa yang rakyat inginkan daripada mereka. Begitu juga saya perhatikan dengan penganjuran program mahupun aktiviti khas untuk remaja. Ia seakan membisu tanpa bunyinya. Saya perhatikan DUN dan Parlimen saya sendiri, seolah-olah tiada aktiviti bersifat membina jati diri yang dilaksanakan oleh wakil rakyat. Wakil rakyat gagal dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Apa yang melucukan ialah wakil rakyat di kawasan saya hanya akan kerap turun padang bila hampir kepada pilihan raya. Itupun kerana nak kekalkan kerusi masing-masing. Inikah kredibiliti seorang pemimpin yang bakal mencorak kemajuan fizikal dan rohaniah dalam masyrakat? Yang hanya tahu akan kepentingan kendiri dan bukannya rakyat jelata? Apakah prinsip dan tujuan kepimpinan mereka sebenarnya sedangkan rakyat telah memberikan mandat yang berbentuk tanggungjawab kepada mereka. Rakyat pun satu, cukuplah beberapa penggal yang diberikan, cuba bertukar angin pula. Mana tahu akan bawa tuah. Bak kata pepatah 'tuah ayam pada tajinya, tuah manusia siapa yang tahu'.

Itulah yang saya rasakan pucuk pimpinan negara perlu ubah secara drastik dan holistik. Hancurkan serta binasakan 'pemimpin yang tidak layak'. Yang mana hanya bersikap pentingkan diri sendiri dan bukannya beruang untuk rakyat. Mereka belum mampu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dan biarlah mereka dengan kehidupan sendiri serta tidak lagi menyusahkan rakyat. Kami sebagai remaja sentiasa peka dan ingatlah bahawa jika suara remaja sering diperlekehkan, ia mengundang nahas. Sesungguhnya individu bernama remaja adalah lebih kuat daya tahan serta semangatnya. Kami muak dengan perilaku pemimpin yang tak senonoh. Kami benci pemimpin yang tak tahu memimpin. KAMI BERJANJI AKAN GUGURKAN PEMIMPIN YANG TAK TAHU MEMIMPIN!! Inilah janji kami sebagai remaja Malaysia!!

Malaysiaku Kebanggaanku!!

Warkah remaja Reformasi Malaysia

Monday, July 7, 2008

Remaja Oh Remaja

Remaja Oh Remaja..

Seringkali terlintas di fikiran kita perbezaan antara generasi kini dan generasi zaman dahulu. Jika kini remaja dimanjakan dengan pelbagai kemewahan dan juga yang bersifat material. Berlainan pula pada zaman dahulu yang mana remaja generasi dulu terikat dengan kehidupan sederhana. Itu merupakan satu perbezaan yang kita dapat lihat secara mudah dan juga secara konseptualnya.

Namun,

Realiti kita lihat remaja masa kini dengan 'trend' masa kini banyak melakukan perkara yang menyalahi norma masyarakat dan tidak bertepatan dengan ideologi Malaysia. Dengan pengenalan Islam Hadhari oleh pihak kerajaan, maka adalah tidak logik bagi remaja Malaysia melakukan sesuatu yang menyalahi norma dan juga perilaku masyarakat. Kita lihat remaja berpeleseran di pusat-pusat hiburan, berkepit dengan 'awek' masing-masing dan budaya melepak. Kenapa tidak ada kesedaran langsung dalam diri remaja berkenaan untuk malu atas apa yang mereka lakukan? Mengapa didikan yang telah diserapkan oleh ibu bapa masing-masing tidak melekat dalam pemikiran serta pegangan diri masing-masing? Mengapa didikan oleh para guru tidak menjadi jati diri remaja? Persoalan ini yang masih gagal kita jawab dengan kejayaan kerana masih lagi terdapat kelemahan yang berlaku sama ada ibu bapa, pihak sekolah, pihak kerajaan mahupun masyarakat. Oleh itu, segala kepincangan ini perlu kita temukan titiknya bagi memastikan generasi remaja yang bakal menjadi generasi peneraju masa depan ini dapat dipulihkan sepenuhnya daripada masalah budaya liar ini. Bukan sekadar para pemimpin melaungkan slogan itu dan ini tapi tidak turun padang bagi bersama-sama mencari penyelesaian masalah ini.

Kita seharusnya sentiasa muhasabah dalam mengatasi permasalahan ini. Mungkin ada kesilapan di pihak kita sama ada kita merupakan ibu bapa, guru, pemimpin dan masyarakat. Marilah kita bersama-sama berjihad dan berjuang demi memastikan generasi remaja ini menjadi generasi yang teguh dalam beragama seterusnya generasi yang GEMILANG!!

Wednesday, July 2, 2008

Karya abangz

GENRE PUISI

Dunia Manusia

Saban detik sibuk kota manusia
dibanjiri pembangunan material di mana-mana
dunia yang manusia dalam alpa
khayalan menggamit usia serta ruangnya
Namun
manusia setia dengan dunianya
tika masa kian cemburu padanya



Abg Mohd Shukri Abg Muis (abangz)
010708-2302, IPS Miri

Pendidikan Berkualiti Pengiktirafan Sedunia

Tiap detik bangsa dijulang, ditimang
kerna sinar pendidikan bergemelapan
menongkah sulur globalisasi nan gah
satu satu wawasan terpahat di minda
didikan terbaik harapan pemimpin
agar segala hasrat terlaksana
kualiti pendidikan cermin nusa gemilang

Dunia pandang pada kita
sinar pendidikan berkualiti terpancar ceria
menggamit seloka Bapa Negara
tersedia segalanya
untuk bawa Malaysia maju selamanya.

Abg Mohd Shukri Abg Muis
010708-2332, IPS Miri