Monday, December 22, 2008

syukur padaNya..

Salam..
Segala pujian kepada Allah SWT Tuhan Semesta Alam, selawat dan salam kepada Rasulullah SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda.
Alhamdulillah, dalam keluangan yang ada mampu jua ana berkongsi sesuatu pada tika ini. Sudah lama rasanya tidak menitipkan pemikiran pada blog ini di kala menerima dugaan daripada Allah SWT.
Tika ini, dilihat kepada senarioa kehidupan masyarakat Islam masih lagi berlakunya perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Persoalan ini kerap kali ditimbulkan dan juga dibincangkan terutamanya oleh pihak yang berwajib supaya masyarakat Islam menyedari akan kepentingan mematuhi segala perintah dan meninggalkan larangan Allah SWT. Ana cukup sedih melihat kehidupan masyarakat kini yang diselimuti dengan pelbagai kemungkaran. Anak-anak kecil tidak diajarkan dengan agama secukupnya, pergaulan bebas remaja, perjudian, minum arak dan pelbagai lagi masalahnya. Memang punca terasnya adalah mereka lari daripada agama Allah SWT. Tetapi apa yang pelik dan janggalnya ialah manusia mempunyai akal yang boleh berfikir yang mana baik dan yang mana buruk. Ana cukup sedih bila pergi ke masjid, hanya golongan tua sahaja yang memenuhi ruangan masjid itupan hanya seramai 5-10 orang. Ke mana perginya lagi individu-individu yang lain. Ke mana hilangnya belia-belia kita? Jika dilihat kepada dasar kerajaan, Islam Hadhari lengkap memperkatakan 'Keimanan dan Ketakwaan kepada Allah' dijadikan sebagai teras pertama. Dasar yang cukup cantik namun hanya polemik semata-mata. Kita cukup khuatir bila melihat kepada masa depan yang mana belia-beliawanis ini bakal menerajui pimpinan keluarga, masyarakat dan juga negara. Adakah kita inginkan pimpinan mereka yang rendah akhlaknya? Berstatuskan penagih dadah dsb? Tentunya jawapannya tidak kerana semua inginkan pemimpin yang baik, berakhlak mulia, soleh dan juga berkaliber. Jadi bagaimana kita ingin lahirkannya jika kita tiada usaha membantu? Kita hilangkan rasa hasad dengki, iri hati, sombong, bongkak dan sebagainya. Kita perlu kembali kepada ajaran Allah SWT yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW. Kita umat akhir zaman, kiamat hampir dengan kita sedangkan kita belum lagi ada persiapannya...
Ana berpesan kepada diri ana sendiri terutamanya dan muslimin muslimat supaya beringatlah kita kerana peringatan cukup berguna bagi mereka yang beriman..wallahua'lam..
Jazakallahu khair..wassalam..

Monday, November 3, 2008

rentetan kehidupanku

Salam..

Lama sudah rasanya ana tak menulis dalam ruangan fikrah pemikiran ini. Mungkin kerana kesibukan dunia yang tak ada penghujungnya. Sepanjang menyepi ini, pelbagai peristiwa yang berlaku pada diri ana. Jika ana fikirkan kenapa ana terlalu fokus dengan aktiviti keduniaan yang hanya sementara? Pergi ke sana, pergi ke sini, buat sana, buat sini. Sehinggakan kekadang perintah Allah SWT terleka dek kerana melakukan perkara dunia. Mungkin ini kelemahan diri ana sebagai manusia serta hamba yang hina. Harapannya, menulis ini bisa membuatkan diri ana berfikir akan apa yang telah dilakukakan bagi memastikan diri sentiasa terpelihara oleh Allah SWT.

Jika ana lihat sahabat2 yang lain, sibuk dengan berpacaran, ke hulu ke hilir bangga dengan pujaan hati, namun ana terfikir bahawa tiada kemanisannya lagi jika masa muda diisi dengan perkara sedemikian. Segalanya ana fikirkan terlalu awal untuk diluahkan, sedangkan kehidupan yang lebih bahagia ialah rumah tangga yang jaminan Syurga. Berlainan pula dengan dunia percintaan yang buta, kalau tersilap boleh jadi dusta. Perut boleh boyot, ekoran nafsu berleluasa. Na'uzubillahimin zaliq. Ana juga ada lemahnya, terfikir akan perkara lagha yang tiada apa2 makna malah dosa. Ana masih lagi ada cacat & cela dalam ibadah. Malu sebagai hambaNya...

Baru sebentar tadi ana buka blog Yayasan Amal Miri, wah hebat sungguh persatuan ini. Nyata2 tujuan mereka fisabilillah, ana teringin nak join tapi tak tahu ke mana harus diikuti. Ana rasakan aktiviti seperti berkenaan cukup penting buat diri kita terutama bakal2 guru ini. Bakal guru seharusnya lebih dekat serta hampir dengan masyarakat supaya diri sentiasa berada dalam rahmat Allah. Memang hebat kuasa penulisan, diri ana terasa lapang dan tenang. Segala-galanya boleh diluahkan. Syukran Allah..

Khamis ini, ana ada ujian Kertas Edu (MAB), insya Allah segalanya dengan rezeki daripada Allah SWT ana mampu menghadapinya. Kadang2 ana ini malas gak,ntah itu mungkin sebab dosa ana sendiri. Sukar juga nak buang sifat malas, ana tak belajar daripada pengalaman. Itu antara kelemahan ana. Insya Allah ana sentiasa mencuba untuk muhasabah diri untuk menjadi 'khairu akhi'. Insya Allah..

Insya Allah, keluangan ini akan diisi lagi masa depan. Wassalam.

Saturday, October 11, 2008

dirisik...

Kita pasti dirisik..
Pertunangan sejak azali..
Di hujung hidup nanti..

Berlangsungnya perkahwinanmu dengan maut..
Hantarannya..sakit dan nazak..
Tamu bertandang menghadiahkan esak tangis..
Pengantin dimandikan..

Dipakaikan baju cantik putih..
Wangian gaharu dan cendana..
Keranda jadi pelaminan..
Pengantin bersanding sendirian..

Di arak keliling kampung..

Berkompangkan azan dan kalimah kudus..
Akad nikahnya bacaan talkin..
Berwalikan liang lahat..

Saksi pula nisan-nisan..
Siraman air mawar..
Keluarga terdekat menepung tawar..
Tiba masa pengantin..
Menunggu sendirian..

Malam pertama bersama KEKASIH..
Di kamar bertilamkan tanah..
Dan Dia menuntut janji..
Sucikah kita tatkala berpadu..

Pernahkah taubat sepanjang hayat..
Atau terkubur bersama dosa-dosa...
Dan Dia Kekasih itu..
Menetapkanmu ke syurga..
Atau melemparkan dirimu ke neraka

Thursday, October 9, 2008

mengertikah kita "Kontrak Sosial"

Kontrak Sosial

Kontrak sosial di Malaysia merujuk kepada perjanjian oleh bapa-bapa kemerdekaan negara dalam Perlembagaan, dan merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera. Istilah ini juga kekadang digunakan untuk merujuk kepada bahagian-bahagian yang lain dalam Perlembagaan, seperti Perkara yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Dalam konteks biasa yang berkaitan dengan hubungan ras, kontrak sosial telah kerap kali dibidaskan, termasuk juga oleh ahli-ahli politik dalam kerajaan campuran Barisan Nasional yang menegaskan bahawa tidak habis-habis bercakap tentang hutang orang-orang bukan Melayu kepada orang-orang Melayu terhadap kewarganegaraan yang diberikan telah merenggangkan golongan-golongan bukan Melayu daripada negara mereka. Kritikan-kritikan seumpama ini telah ditentang oleh media Melayu dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti politik yang terbesar dalam Barisan Nasional. Banyak orang Melayu, biasanya daripada UMNO, telah mempergunakan kontrak sosial ini untuk mempertahankan prinsip Ketuanan Melayu.

Kontrak sosial selama ini telah lama diamalkan oleh para pemimpin terutamanya pemimpin dari parti kompenen Barisan Nasional. Tidak terdapat syarat-syarat formal mengenai kontrak sosial ini. Di bawah sedikit petikan mengenai kontrak sosial.

Perlembagaan Malaysia tidak merujuk kepada sebuah “kontrak sosial” (dari segi hak kewarganegaraan dan hak istimewa) secara ketara, dan tidak terdapat sebarang undang-undang atau dokumen yang pernah menjelaskan syarat-syarat kontrak sosial secara penuh. Pembela-pembelanya sering merujuk kepada Perlembagaan sebagai mengemukakan kontrak sosial, dan bapa-bapa kemerdekaaan juga bersetuju dengannya, walaupun rujukan kepada kontrak sosial tidak dibuat dalam Perlembagaan. Sebaliknya, kontrak sosial biasanya dianggap sebagai suatu persetujuan yang memberikan kewarganegaraan kepada orang-orang bukan Melayu dan bukan orang asli (kebanyakannya orang Malaysia Cina dan Malaysia India) sebagai ganti untuk pemberian hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu dan orang-orang asli (dirujuk secara kolektif sebagai Bumiputera). Sebuah buku teks kajian Malaysia pendidikan tinggi yang menepati sukatan pelajaran kerajaan mengatakan: “Oleh sebab pemimpin-pemimpin Melayu bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat kewarganegaraan, pemimpin-pemimpin komuniti Cina dan India telah menerima kedudukan istimewa Melayu sebagai penduduk asli Malaya. Dengan penubuhan Malaysia, status kedudukan istimewa itu diperluas untuk merangkumi komuniti-komuniti penduduk asli Sabah dan Sarawak.” [1]

Perlembagaan secara ketara memberikan tanah rizab Bumiputera, kuota dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, kuota untuk lesen perniagaan, dan kebenaran untuk memonopoli industri-industri yang tertentu, jika kerajaan membenarkan. Bagaimanapun pada hakikatnya, khususunya selepas pengenalan Dasar Ekonomi Baru Malaysia (NEP), akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 ketika kaum Melayu hanya memiliki 4% daripada ekonomi Malaysia, hak-hak istimewa Bumiputera diperluas kepada bidang-bidang yang lain; kuota-kuota ditentukan untuk ekuiti Bumiputera dalam perbadanan awam, dan diskaun-diskaun sebanyak 5% hingga 15% untuk membeli kereta dan harta tanah diberikan.

Setengah-setengah orang mengatakan bahawa kecondongan terhadap orang-orang Melayu dalam pendidikan dan politik sebahagiannya merupakan tindak balas terhadap keupayaan orang-orang Malaysia Cina untuk memperoleh kebanyakan kekayaan negara itu. Bagaimanapaun, orang-orang Malaysia India boleh mengemukakan hujah bahawa merekalah yang mengalami kerugian yang paling banyak, walaupun ini boleh dipertikaikan.

Kerajaan ada mengundurkan sistem kuota untuk kemasukan ke universiti-universiti awam pada 2003 dan memperkenalkan dasar “meritokrasi”. Bagaimanapun, sistem baru ini dikritik secara meluas oleh orang-orang bukan Bumiputera kerana hanya memanfaatkan kaum Bumiputera yang ditempatkan dalam rancangan matrikulasi yang menonjolkan kerja kursus yang agak mudah sedangkan orang-orang bukan Bumiputera terpaksa mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Walaupun secara teori, orang-orang bukan Bumiputra boleh masuk aliran matrikulasi, ini jarang berlaku pada hakikatnya. Meritokrasi juga dikritik oleh sebilangan pihak dalam UMNO sebagai berdiskriminasi kerana ia mengakibatkan orang-orang Melayu luar bandar terkebelakang dalam kadar kemasukan universiti.

Suruhanjaya Reid yang menyediakan kerangka Perlembagaan menyatakan dalam laporannya bahawa Perkara 153, tulang belakang kontrak sosial, adalah bersifat sementara, dan menyesyorkan bahawa ia dikaji semula 15 tahun selepas kemerdekaan. Suruhanjaya juga menyatakan bahawa perkara itu dan peruntukan-peruntukannya hanya diperlukan untuk mengelakkan keadaan tiba-tiba yang tidak menguntungkan kepada orang-orang Melayu dalam persaingan dengan ahli-ahli masyarakat Malaysia yang lain, dan hak-hak istimewa yang diberikan kepada orang-orang Melayu oleh perkara itu harus dikurangkan secara beransur-ansur dan akhirnya dihapuskan. Bagaimanapun, disebabkan Peristiwa 13 Mei yang menyebabkan pengisytiharan darurat, tahun 1972 yang merupakan tahun kajian semula Perkara 153 berlangsung tanpa sebarang peristiwa.

Menurut penyokong-penyokong kontrak sosial, sebagai balasan untuk enakmen peruntukan-peruntukan yang pada asalnya bersifat sementara, orang-orang Malaysia bukan Melayu diberikan kewarganegaraan di bawah Bab I Bahagian III dalam Perlembagaan. Kecuali hak-haki istimewa Bumiputera, orang-orang bukan Bumiputera dianggap sebagai sama saja dengan orang-orang Bumiputera dan diberikan semua hak kewarganegaraan di bawah Bahagian II dalam Perlembagaan. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, sebilangan orang telah mencuba untuk membekalkan warganegara-warganegara Melayu dengan lebih banyak hak politik menurut falsafah ketuanan Melayu. Kebanyakan penyokong ketuanan Melayu memperdebatkan bahawa hak-hak tambahan ini telah ditulis dalam undang-undang dan hanya perlu dipertahankan daripada pembangkang-pembangkang.

Apabila mengambil alih jawatan presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman (kemudian menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama) menyatakan bahawa “…apabila kami (orang-orang Melayu) menentang Malayan Union (yang menjejaskan kedudukan hak-hak orang Melayu), kaum-kaum lain tidak mengambil bahagian kerana mereka mengatakan ini hanya merupakan masalah Melayu, dan bukan masalah mereka. Mereka juga menunjukkan bahawa kesetiaan mereka adalah kepada negara-negara asal mereka dan oleh itu, menentang Laporan Barnes yang bertujuan untuk menjadikan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Jika kami menyerahkan orang-orang Melayu kepada orang-orang yang dikatakan orang Malaya ketika kerakyatan mereka masih belum ditakrifkan, kami akan menghadapi banyak masalah pada masa hadapan.” Bagaimanapun, dia menambah bahawa “Bagi mereka yang mencintai dan berasa bahawa mereka terhutang kesetiaan yang tidak berbelah bagi, kami menyambut mereka sebagai orang Malaya. Mereka harus merupakan orang Malaya yang benar, dan mereka akan mempunyai hak-hak dan hak-hak istimewa yang sama dengan orang-orang Melayu.”

Ketiga-tiga di atas merupakan sentimen yang sering dimainkan oleh parti-parti politik sejak kebelakangan ini. Semangan muhibah dikalangan pemimpin-pemimpin awal negara seakan-akan dipermainkan oleh anak cucu mereka yang menjadi pemimpin parti-parti politik pada hari ini. Persoalannya ketika isu kontrak sosial dimainkan oleh pemimpin bukan melayu…di mana pemimpin-pemimpin Melayu terutama dari pembangkang tampil mempertahankan kontrak sosial yang sudah sekian lama terbina?? Adakah adil sekiranya kita membiarkan konsep Ketuanan Melayu ini dihapuskan dan diganti dengan konsep Ketuanan Rakyat (sedangkan Ketuanan Melayu juga adalah sama kecuali penekanan yang lebih diberikan kepada orang Melayu) yang belum terbukti lagi menjamin masa depan orang Melayu? Adilkah sekiranya anak-anak kita terpaksa mengharungi keperitan untuk ‘survive’ di masa hadapan sedangkan kita telah membesar dengan agak selesa sehingga apa yang kita kecapi setakat hari ini adalah hasil dari konsep Ketuanan Melayu. Diharap anak-anak muda faham akan kenapa walaupun negara kita sudah 50tahun merdeka konsep ini masih digunapakai. Konsep ini bukan lah sesuatu yang baru dan sejarah membukti bahawa terpisahnya Malaysia dengan Singapura adalah akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pemimpin parti induk DAP iaitu PAP yang memainkan isu ketuanan Melayu ini. Adakah anda lebih gemar konsep Ketuanan Melayu ini digugurkan dan digantikan dengan konsep Malaysian Malaysia atau konsep Ketuanan Rakyat??? Bukankah pemimpin parti seperti PKR dan PAS ini merupakan anak-anak yang membesar hasil dari konsep Ketuanan Melayu ini. Cuba fikirkan di mana pemimpin-pemimpin ini berada sekiranya konsep Ketuanan Melayu dihapuskan dahulu?? Adakah mereka akan begelar pemimpin??

Wassalam

Tuesday, September 23, 2008

Ke Mana Hala Tuju Kita Remaja Melayu?

Salam.

Berbicara mengenai soal bangsa ini penuh suka dan dukanya. Apabila kita mengimbas tirai sejarah bangsa kita dikatakan sebagai bangsa yang "MALAS"oleh penjajah. Saya sama sekali tidak bersetuju dengan label British berkenaan. Kita lihat dasar 'pecah & perintah' yang diamalkan oleh Britisg merupakan punca segala-galanya. Tidak ada istilah serta pepatah yang mengatakan MELAYU adalah PEMALAS. Mereka yang mengatakan sedemikian adalah JAHIL kerana tidak mengetahui apa sebenarnya pemikiran, ideologi, pegangan hidup serta amalan masyarakat Melayu yang mana beragama ISLAM. Kehidupan masyarakat Melayu penuh dengan budi bahasa, nilai-nilai murni, ketaatan kepada Allah SWT dan juga sentiasa melakukan segala kebaikan. Itulah sebenarnya Melayu Islam dulu, kini dan selamanya. Tidak pernah wujud bangsa Melayu yang PEMALAS. Sesungguhnya siapa yang berani berkata demikian, kita wajar perangi mereka dan halau mereka dari negara Melayu Islam yang kita cintai. Penjajah sememangnya bangsat yang menjadi punca segala-galanya, sehingga melabelkan bangsa kita sebagai bangsa yang sedemikian. Merekalah yang sentiasa berdosa kepada bangsa Melayu Islam dan kita berdoa agar mereka mendapat laknat daripada Allah SWT atas segala apa yang mereka telah lakukan kepada bangsa Melayu baik di Semenanjung, Sarawak dan juga Sabah. Sesungguhnya bangsa Melayu adalah bangsa yang terbaik dan juga terbilang identitinya.

Kita akui dalam meneliti arus globalisasi ini kita lihat kepada peratusan penghuni pusat-pusat serenti adalah bangsa Melayu. Bangsa lain mengatakan bangsa Melayu sememangnya sebegitu. Memang suka akan perkara yang tidak baik. Persoalannya, pernahkah mereka tahu bahawa setiap kelahiran Muslim itu akan diperdengarkan dengan AZAN atau IQAMAH? Lafaz tauhid kepada Allah SWT. Ada bangsa mereka berbuat demikian? Itu menunjukkan sejak kecil lagi mereka telah dididik dengan rasa berTuhan dan nilai-nilai murni yang cukup indah. Mengapa boleh juga berlaku? Kita mungkin tidak mengetahui bahawa terdapat sekelompok komuniti yang motif mereka adalah untuk menghancurkan bangsa Melayu. Mereka telah menjadi pengedar utama dadah pada tahun 1970an dan sasaran mereka adalah bangsa Melayu. Ini diperkukuhkan dengan bangsa Melayu yang paling ramai masuk ke pusat serenti ekoran remaja Melayu yang menjadi sasaran mereka. Pernahkah kita terfikir akan perkara ini? Kita tidak boleh menyalahkan sepenuhnya remaja Melayu terjebak ke arah najis dadah ini kerana mereka telah menjadi MANGSA komuniti terbabit. Kita perlu mencari jalan untuk menjahankan komuniti yang berhasrat untuk menghancurkan bangsa Melayu. Mungkin saudara/saudari tertanya-tanya bagaimana saya mengetahui perkara ini. Ia boleh difikirkan secara logik oleh saudara/saudari berasaskan kepada contoh yang telah saya berikan..

Wahai Bangsaku,
Tika ini hak-hak kita semakin dicabuli oleh bangsa-bangsa lain. Kita sekarang ini bagaikan penumpang dalam kapal layar kita sendiri. Terpaksa membayar tiket, terpaksa beratur dan segala-galanya. Kita hanya mengharapkan kepada Perlembagaan melalui perkara 3, 4, 152, 153, 181 dan lain-lain. Adakah kita terlalu yakin bahawa perlembagaan negara Melayu Islam ini tidak berubah? Begitu yakinkah kita? Bagaimana jika pemimpin kita mudah mengalah kepada bangsa lain demi untuk menjaga AIR MUKA mereka? Apa akan berlaku kepada kita? Sepatutnya, bangsa lain telah mengerti mengenai kontrak sosial dan menerima dengan hati terbuka kepada KETUANAN MELAYU. Ketuanan Melayu Islam jangan sesekali digugar kerana bangsa Melayu telah banyak bertolak ansur kepada bangsa lain. TAK PANDAI NAK BERSYUKUR!!Ingatlah bangsa MELAYU ISLAM tak akan berdiam jika haknya dicabuli, ketuanannya diganggu dan bangsanya diperlekehkan. Sesungguhnya sejarah mengajar segala-galanya..
sambungan....

Wassalam

Tuesday, August 26, 2008

kenangan...

Kenangan,
Dulu kini berbeda,
Dulu bahagia,
Kini derita,
Harapan tinggal bingkisan hina,
Itulah cinta hanya diriku cuma..

Kenangan,
Alpa diri tak sempurna,
Bait-bait perasaan khayalan semata,
Sedangkan orang dah bahgia,
Diri tetap menderita..

Kenangan,
Diri hilang segalanya,
Selama ini pikir satu cuma,
Cinta yang buta,
Balasan Tuhan yang Esa,
Pada diri hamba durjana..

Kenangan,
Pesanan dah berjuta,
Jangan bermain cinta,
Pada insan tak suka,
Diri yang tak sempurna..

Kenangan,
Terus derita dan derita,
Sampai bila?
Sudah cukup ajarnya,
Kembali padaNya,
Penentu segalanya..

Kenangan,
Terus tinggal kenangan..

perjalanan...

dari titik demi titik,
dari tika ke detik,
bermula perjalanan sedetik,
tika ingat kenangan berputik,
kenangan indah keluarga nan sentiasa dipetik..

esok lusa perjalanan baru,
tika cintaku terus celaru,
tiap titip kata ingat dirimu,
sedangkan kau dah jemu,
pada diriku yang kedu..

doaku mengiring perjalanan teman hati,
walau dia tak ingat diriku,
namun dah terpahat pada hati,
namamu bersama doaku pada hatimu..

permata hati,
bulan bintang jadi saksi,
seiring doaku pada hati,
cintaNya terus tersemat pada hati..

Tuesday, August 19, 2008

macam-macam ada

Salam.
Pertamanya syukur kepada Allah SWT kerna izinNya dapat jua saya mengisi kekosongan ini dengan meulis sesuatu yang mungkin bermanfaat kepada kita.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan keluarga baginda serta para sahabat baginda.


Macam2 ada..
Itulah ungkapan yang boleh kita titipkan pada bibir setiap individu melihat senario dunia pada masa sekarang. Manusia semakin lari dari pegangan agama dan segalanya berpaksikan kepada kehidupan dunia yang sementara. Perpaduan dan nilai-nilai kekitaan semakin pudar malah tidak diamalkan lagi oleh masyarakat kita. Kehidupan manusia dibayangi oleh segala bentuk kebendaan tanpa menilai ia baik atau buruk. Orang kata "matlamat menghalalkan cara". Jika untuk satu matlamat itu, segala cara tanpa mempedulikan ia baik atau buruk akan diambil jua. Inilah realiti kita pada masa kini. Realiti yang mana setiap individu tidak lagi mengenali peranan hidup berjiran, "amar makruf nahi mungkar" dan juga sentiasa berpesan-pesan antara satu sama lain. Mungkin ada individu yang mengenali diri ini mengatakan cakap tak serupa bikin. Tapi persoalannya, jika tidak kita siapa? dan jika tidak sekarang bila? Oleh hal demikian, saya mencuba untuk memberikan pandangan mengenai realiti kehidupan kita pada masa kini. Tentunya berbeza pendapat adalah kawan yang baik dan perbezaan itulah yang menjadikan diri kita semakin matang dalam menempuh kehidupan.
Pemikiran saya yang masih mentah ini seringkali terpikir kenapa masih ada lagi individu melakukan perkara yang ditegah Allah SWT? Bukan sekadar remajanya, tetapi warga "veteren" juga melakukan perkara yang sama. Bukankah segala ajaran Allah SWT yang disampaikan melalui wahyuNya al-Quran jelas menunjukkan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh manusia. Rasulullah SAW sebagai individu ikutan juga telah banyak memberikan contoh teladan perilaku yang cukup indah dan baik. Mengapa kita hamba yang hina sewenang-wenangnya melakukan perkara yang ditegah Allah SWT? Cukup hebatkah kita untuk melanggar peraturan Allah SWT? Tidak takutkah kita kepada azabNya di akhirat kelak. Ya, mungkin kini kita tidak menyedari dan mudah leka dengan kebendaan dunia, tapi tidak pernahkah kita terfikir tentang kehidupan kita selepas mati.. Adakah hidup kita selesai atau penamatnya adalah mati sahaja? Sedangkan akhirat merupakan tempat dan zaman yang kekal abadi. Segala pembalasan terhadap apa yang kita lakukan di dunia terjawab di sana. Nau'zubillah.. Semoga kita ditempatkan ke dalam orang-orang yang beriman dan diredhaiNya. Insya Allah.. Semua mengerti bahawa Syurga adalah tujuan semua, tapi adakah kita melakukan sesuatu ke arahnya? Jika dilihat dari perlakuan kita semuanya ke arah neraka.. Nau'zubillah.. Moga Allah SWT mengampuni dan mengasihi kita... Muhasabahlah diri kita... Sama-sama kita berpakat mengingat antara satu sama lain.. Maaf, tulisan ini sekadar pandangan ikhlas dari saya sebagai hambaNya yang hina..
Insya Allah, kita berkongsi lagi masa hadapan..
Wassalam

Monday, August 18, 2008

lemahnya hati...

lemahnya hati,
tika dugaan dariNya,
terus meronta tak kena,
sedih bak mati esoknya..

lemahnya hati,
dugaan secebis cuma,
tiada pikir akanNya,
lupa itu hanya biasa,
bagi hamba iman dadanya..

lemahnya hati,
gembira alpa denganNya,
dunia tak ke mana,

lemahnya hati,
ku malu padaNya,
alpa dalam leka,
leka dalam lena,
pada dunia indah dasarnya..

lemahnya hati,
ku hamba durjana...

19/08/08
1206 am
hanya di situ cuma..

lemahnya hati...

Kini, tika masa dan detik kita binggung dengan segala permasahalan yang berlaku di sekeliling kita. Hidup kita tidak lari dari masalah dan masalahlah yang mengajar kita erti kematangan dan juga semakin tabah dengan cabaran kehidupan. Apabila berbicara soal kehidupan, kita tidak lari dari membicarakan tujuan kita datang ke dunia ini. Allah SWT telah mengatakan dalam al-Quran: "tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu". Jelas dan nyata bahawa kehidupan kita di dunia ini adalah semata-mata kerana Allah SWT dan segala qada' dan qadar Allah SWT kita kena terima seadanya. Mungkin saya katakan segala masalah dan dugaan yang ditempuhi adalah cukup berat. Tapi, persoalannya pernahkah diriku berfikir bahawa ada hikmah di sebalik semua itu. Memang lumrah kehidupan kita ada kecewa dan merananya, tapi segalanya kita kena hadapi dengan tabah dan juga sabar. Sesungguhnya orang-orang yang bersabar adalah orang yang beriman di sisi Allah SWT. Kekadang diriku terpikir bahawa dunia ini aku terlalu kejar. Sehinggakan kebusukan dunia terlupa dek kerana pandangan mata yang buta dan asyik leka. Ya Allah, ku mohon ampun padaMu..
Apabila difikirkan tentang masalah, hati menjadi tidak tentu, fikiran melayang entah ke mana dan segalanya menjadi serba tidak kena. Diriku sememangnya sedemikian, hamba yang lemah. Kenapa tidak ku fikirkan tentang kekuasaan Allah dan jangan sekadar tika sedih sahaja kembali padaNya? Memang diriku hamba yang hina, tak tahu malu dan apabila susah baru mengadu.. Apa jenis manusia diriku ini...
Lemahnya diriku, baru sedikit cubaanNya hampir putus asa. Sedangkan Allah SWT sentiasa ada bersama-sama. Pernahkah ku terfikir bahawa dunia hanya sementara? Yang kekal abadi adalah akhirat sana. Adakah ku ingin pemergianku sekadar dengan kain kafan yang bersih tanpa ada amalan suci bersama? Ya Allah, ampunkan segala dosa ku...

permata hati

Permata Hati...

akan ku petik bintang,
menjadi kerongsang,
menyinari permatamu..

akan ku selam mutiara,
menjadi hiasan,
penyeri wajahmu..

akan ku jolok matahari,
menyinari sirna hatimu..

akan ku petik bunga,
pewangi seluruh jiwamu..

akan ku titip surahNya,
penenang pikirmu..

permata hati,
hidup dan matiku,
erat dalam genggamanmu...

18/08/08
1043 pm

Monday, July 28, 2008

Reformasi Remaja

Salam.

Pertama dan selamanya marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerna masih diberi keizinanNya untuk kita berkongsi pandangan dalam ruangan secebis ini. Jika kita lihat senario yang berlaku dalam negara kita dengan pelbagai agenda permasalahan sama ada politik, ekonomi dan sosialnya. Kita sebagai remaja tidak terkecuali menerima akibatnya. Kita lihat sahaja isu kenaikan harga minyak yang kini RM2.72 cukup membebankan rakyat. Secara tidak langsung kita sebagai remaja juga turut terasa bahangnya. Dengan kedudukan ekonomi remaja yang tidak ada paksi kukuh tentunya permasalahan ini cukup membebankan. Kenaikan harga minyak juga mengakibatkan perkara-perkara lain turut naik sama seperti harga makanan asas iaitu beras. Ini bermakna kos sara diri atau kos hidup remaja turut meningkat. Perkara ini kita perlu sedar dan sentiasa perlu peka dengan peranan kita sebagai warganegara Malaysia yang mempunyai hak masing-masing.

Jadi, persoalannya apakah peranan kita sebagai remaja yang mana bakal menerajui pucuk pimpinan negara? Adakah kita sekadar boneka hiasan semata-mata? Kemana perginya suara emas kita? Mengapa pihak tertentu sentiasa melupakan suara kita? Adakah kerana kita ini masih mentah dalam pemikiran? Jika itu tanggapan mereka, maka mereka adalah silap. Kita sebagai generasi muda boleh menggoncang negara ini dengan kekuatan semangat kita. Kita harus lakukan perubahan terutamanya dalam merubah pemikiran rakan-rakan kita yang lain yang telah tersalah pilih jalan. Kita kena bawa mereka bersama-sama ke landasan yang betul yang berteraskan kepada ajaran agama masing-masing. Setiap perubahan yang kita lakukan berupaya menjadikan diri kita lebih terarah dan juga bersistematik. Apabila ini berlaku, barulah kita mulakan reformasi kita. Kita bangkit dari tidur yang lena dan memperjuangkan hak kita. Kalau tidak kita siapa lagi? Harapkan wakil-wakil rakyat yang telah lapuk pemikiran mereka? Yang hanya tahu kronisme dan nepotisme? Yang hanya tahu isu perut sendiri dengan projek-projek? Yang hanya melawat tika kempen pilihan raya? Pemimpin sebegini kita perlu usir dalam hidup kita dan kita perlu jatuhkan mereka. Mereka sesungguhnya adalah pengkhianat bangsa dan pengkhianat bangsa tidak layak memimpin kita.

Wahai rakan-rakan remaja,

Marilah kita lakukan perubahan dan semoga dengan perubahan yang dilakukan dapat menjadikan bumi Malaysia lebih Cemerlang, Gemilang dan Terbilang!!

REFORMASI REMAJA

Wassalam.

Tuesday, July 22, 2008

Konotasi Guru

GURU,

Insan pendidik yang begitu sinonim dengan masyarakat. Peranan dan kerjaya guru cukup luas diperkatakan sehingga ada yang berkata "jika hari ini seorang doktor berjaya merawat seorang pesakit, jika hari ini seorang peguam menang bicara dan jika hari ini seorang menteri gah kuasanya, KETAHUILAH semuanya bermula dari seorang GURU". Kerjaya dan profesion keguruan adalah merupakan satu profesion yang begitu mulia dan juga begitu hampir dengan individu-individu dalam masyarakat. Keperibadian serta akhlak setiap insan terbentuk secara formal di sekolah, gurulah menjadi agen perubahan dan agen sosialisasi kepada masyarakat. Tugas dan peranan seorang guru bukan sekadar berbicara dalam bilik darjah sahaja, tetapi lebih dari itu. Kerjaya guru adalah satu kerjaya yang fleksibel iaitu guru berupaya menjadi kerani, tukang kebun dan juga pembantu percetakan. Itulah realiti guru pada masa kini dan juga segala cabaran perlu diharungi dengan ketabahan dan kesabaran.

Namun,

Adakah masyarakat memandang kepada peranan guru ini? Adakah masyarakat menghargai segala peranan dan jasa guru? Adakah ibu bapa sedar bahawa tanpa seorang guru, anak-anak mereka akan jadi apa? Kenapa guru sering dipersalahkan jika berlakunya kepincangan dalam masyarakat? Kenapa guru digelar guru '25 hb'? Mengapa dan Kenapa persoalan ini tumbul dalam profesion perguruan? Persoalan-persoalan inilah yang menghangatkan lagi profesion ini dan ia menjadi satu cabaran kepada para guru untuk menepis segala persoalan dengan melakukan kerja ikhlas semata-mata ALLAH SWT. Kita seharusnya tidak gentar dengan cabaran ini kerana sesungguhnya kita adalah yang terbaik dan kita sahaja yang mampu merubah corak politik, ekonomi dan juga sosial NEGARA kita.

Konotasi GURU, kita jangan mudah mengalah dengan tekanan. PIPP harus kita cuba berjayakan dan segala dasar yang tersedia perlu dilaksana. Apa yang lebih utama ialah kita perlu mendidik anak bangsa kita dengan segala ilmu dan kemahiran yang kita miliki supaya mereka berupaya menjadi insan yang CEMERLANG, GEMILANG & TERBILANG..

TERIMA KASIH CIKGU!

Sunday, July 13, 2008

Malaysiaku..

Malaysia, sebuah frasa yang begitu membuatkua bangga menyebutnya, melaungkannya dan juga melafazkannya. Namun, pada fikiranku adakah individu lain berfikiran sedemikian juga? Adakah mereka merasakan satu aura pada frasa 'Malaysia'? Adakah mereka merasakan betapa pentingnya ideologi negara iaitu Rukun Negara buat mereka. Adakah setiap individu dalam masyarakat memahami apa isi tersirat yang terkandung dalam Rukun Negara? Persoalan-persoalan ini seringkali bermain di fikiran saya sebagai invidu serta masyarakat yang cintakan tanah air.

Namun, kadangkala saya begitu kecewa dengan perlakuan serta tindak tanduk pemimpin kita yang acuh tak acuh dalam memperjuangkan nasib bangsa Malaysia dan Melayu khasnya. Mengapa masih ada individu yang bergelar "pemimpin bangsa" yang kita harapkan dalam memperjuangkan nasib anak bangsa seolah-olah hilang hala tuju mereka. Mereka mengejar pemerintahan nepotisme dan kronisme. Inilah hala tuju mereka, pemimpin yang gila harta dan juga pangkat. Tidak sedar akan tanggungjawab dan juga peranan dalam menjaga kebajikan rakyat, meningkatkan taraf hidup rakyat dan juga lebih peka akan keperluan rakyat. Inilah apa yang rakyat inginkan daripada mereka. Begitu juga saya perhatikan dengan penganjuran program mahupun aktiviti khas untuk remaja. Ia seakan membisu tanpa bunyinya. Saya perhatikan DUN dan Parlimen saya sendiri, seolah-olah tiada aktiviti bersifat membina jati diri yang dilaksanakan oleh wakil rakyat. Wakil rakyat gagal dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Apa yang melucukan ialah wakil rakyat di kawasan saya hanya akan kerap turun padang bila hampir kepada pilihan raya. Itupun kerana nak kekalkan kerusi masing-masing. Inikah kredibiliti seorang pemimpin yang bakal mencorak kemajuan fizikal dan rohaniah dalam masyrakat? Yang hanya tahu akan kepentingan kendiri dan bukannya rakyat jelata? Apakah prinsip dan tujuan kepimpinan mereka sebenarnya sedangkan rakyat telah memberikan mandat yang berbentuk tanggungjawab kepada mereka. Rakyat pun satu, cukuplah beberapa penggal yang diberikan, cuba bertukar angin pula. Mana tahu akan bawa tuah. Bak kata pepatah 'tuah ayam pada tajinya, tuah manusia siapa yang tahu'.

Itulah yang saya rasakan pucuk pimpinan negara perlu ubah secara drastik dan holistik. Hancurkan serta binasakan 'pemimpin yang tidak layak'. Yang mana hanya bersikap pentingkan diri sendiri dan bukannya beruang untuk rakyat. Mereka belum mampu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dan biarlah mereka dengan kehidupan sendiri serta tidak lagi menyusahkan rakyat. Kami sebagai remaja sentiasa peka dan ingatlah bahawa jika suara remaja sering diperlekehkan, ia mengundang nahas. Sesungguhnya individu bernama remaja adalah lebih kuat daya tahan serta semangatnya. Kami muak dengan perilaku pemimpin yang tak senonoh. Kami benci pemimpin yang tak tahu memimpin. KAMI BERJANJI AKAN GUGURKAN PEMIMPIN YANG TAK TAHU MEMIMPIN!! Inilah janji kami sebagai remaja Malaysia!!

Malaysiaku Kebanggaanku!!

Warkah remaja Reformasi Malaysia

Monday, July 7, 2008

Remaja Oh Remaja

Remaja Oh Remaja..

Seringkali terlintas di fikiran kita perbezaan antara generasi kini dan generasi zaman dahulu. Jika kini remaja dimanjakan dengan pelbagai kemewahan dan juga yang bersifat material. Berlainan pula pada zaman dahulu yang mana remaja generasi dulu terikat dengan kehidupan sederhana. Itu merupakan satu perbezaan yang kita dapat lihat secara mudah dan juga secara konseptualnya.

Namun,

Realiti kita lihat remaja masa kini dengan 'trend' masa kini banyak melakukan perkara yang menyalahi norma masyarakat dan tidak bertepatan dengan ideologi Malaysia. Dengan pengenalan Islam Hadhari oleh pihak kerajaan, maka adalah tidak logik bagi remaja Malaysia melakukan sesuatu yang menyalahi norma dan juga perilaku masyarakat. Kita lihat remaja berpeleseran di pusat-pusat hiburan, berkepit dengan 'awek' masing-masing dan budaya melepak. Kenapa tidak ada kesedaran langsung dalam diri remaja berkenaan untuk malu atas apa yang mereka lakukan? Mengapa didikan yang telah diserapkan oleh ibu bapa masing-masing tidak melekat dalam pemikiran serta pegangan diri masing-masing? Mengapa didikan oleh para guru tidak menjadi jati diri remaja? Persoalan ini yang masih gagal kita jawab dengan kejayaan kerana masih lagi terdapat kelemahan yang berlaku sama ada ibu bapa, pihak sekolah, pihak kerajaan mahupun masyarakat. Oleh itu, segala kepincangan ini perlu kita temukan titiknya bagi memastikan generasi remaja yang bakal menjadi generasi peneraju masa depan ini dapat dipulihkan sepenuhnya daripada masalah budaya liar ini. Bukan sekadar para pemimpin melaungkan slogan itu dan ini tapi tidak turun padang bagi bersama-sama mencari penyelesaian masalah ini.

Kita seharusnya sentiasa muhasabah dalam mengatasi permasalahan ini. Mungkin ada kesilapan di pihak kita sama ada kita merupakan ibu bapa, guru, pemimpin dan masyarakat. Marilah kita bersama-sama berjihad dan berjuang demi memastikan generasi remaja ini menjadi generasi yang teguh dalam beragama seterusnya generasi yang GEMILANG!!

Wednesday, July 2, 2008

Karya abangz

GENRE PUISI

Dunia Manusia

Saban detik sibuk kota manusia
dibanjiri pembangunan material di mana-mana
dunia yang manusia dalam alpa
khayalan menggamit usia serta ruangnya
Namun
manusia setia dengan dunianya
tika masa kian cemburu padanya



Abg Mohd Shukri Abg Muis (abangz)
010708-2302, IPS Miri

Pendidikan Berkualiti Pengiktirafan Sedunia

Tiap detik bangsa dijulang, ditimang
kerna sinar pendidikan bergemelapan
menongkah sulur globalisasi nan gah
satu satu wawasan terpahat di minda
didikan terbaik harapan pemimpin
agar segala hasrat terlaksana
kualiti pendidikan cermin nusa gemilang

Dunia pandang pada kita
sinar pendidikan berkualiti terpancar ceria
menggamit seloka Bapa Negara
tersedia segalanya
untuk bawa Malaysia maju selamanya.

Abg Mohd Shukri Abg Muis
010708-2332, IPS Miri

Wednesday, March 5, 2008

Guru Cemerlang

Salam.

Maha suci Allah Tuhan Sekalian Alam.
Selawat dan salam ke atas Rasul Junjungan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat serta anbiya'.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerna limpah kurniaNya dapatlah disiapkan blogger ini untuk kita bersama-sama berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai isu GURU yang bersesuaian dengan persekitaran kita yang berada di lingkungan profesion perguruan.

Sebagai bakal pendidik, saya rasakan kita perlu lebih fleksibel dengan keadaan perubahan yang berlaku tika ini dalam kita berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia. Segala ilmu baru dan pelbagai harus kita timba bagi memantapkan diri kita sebagai bakal PENDIDIK yang CEMERLANG. Itu merupakan semua usaha kita dan segala jalan serta peluang telah tersedia tetapi hanya diri kita yang ingin merubahnya. ANDA MAMPU MERUBAHNYA..

Oleh itu, marilah kita bersama-sama bermuzakarah untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan dengan profession kita, profession keguruan. Semoga usaha kita mendapat keberkatan serta keredhaan Allah SWT.

Insya ALLAH.

Wassalam.